KHIDMAT JURURAWAT LELAKI DARI
KACAMATA UTUSAN MALAYSIA ONLINE..
JARANG sekali golongan lelaki bersedia memikul
tugas dan amanah sebagai jururawat lelaki atau male nurse.
Kini, pandangan dan stigma orang ramai terhadap
golongan lelaki yang menjadikan kerjaya jururawat sebagai satu profesion sudah
semakin berubah apabila dilihat sebahagian daripada golongan tersebut mula
menjadikan pekerjaan itu sebagai kerjaya mereka.
Walaupun masih ada yang beranggapan lelaki yang
bekerja sebagai jururawat mempunyai jiwa yang lembut, namun dua anak muda ini, Thomas
Raj Soasainatahan, 20, dan Mohamad Hafiz Mustaffaa Kamal, 27, tidak
pernah mengambil endah dengan pandangan seperti itu.
Malah kedua-dua mereka yang sedang berkhidmat di
Hospital Pantai Kuala Lumpur di bahagian Hemodialisis, tidak pernah berasa
terpinggir dan malu dengan kerjaya tersebut.
Kedua-duanya gembira melakukan tugas berkenaan
kerana minat yang mendalam dalam dunia kejururawatan.
Ini kerana walaupun mereka merupakan antara
golongan 'minoriti' yang berkhidmat dalam bahagian tersebut, tetapi hubungan
dan bidang tugas yang dilakukan adalah sama seperti jururawat wanita.
Adakalanya, kewujudan mereka amat diperlukan
terutamanya dalam menghadapi tugas-tugas yang berat dan mencabar.
Ini diakui sendiri oleh Thomas yang sudah lebih
setahun berkhidmat sebagai jururawat di Hospital Pantai Kuala Lumpur.
Akui anak kelahiran Ipoh Perak ini, dia menceburi
kerjaya mencabar sebagai jururawat adalah kerana minat dan dorongan kuat
daripada ibunya sendiri yang juga berkhidmat sebagai seorang jururawat.
"Selain minat yang mendalam untuk mencuba
bidang pekerjaan yang berbeza dan tidak ramai yang diceburi oleh golongan
lelaki, emak juga menjadi inspirasi untuk saya terlibat dalam bidang ini kerana
dia adalah seorang jururawat di Perak Chinese Maternity Hospital.
"Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
saya telah menyambung pengajian di Kolej Kesihatan Sains dan Kejururawatan
Pantai. Kemudian, tiga tahun selepas itu saya mula berkhidmat sebagai jururawat
di sini," kata Thomas.
Tambahnya, semasa mula -mula menceburkan diri dalam
profesion sebagai jururawat, timbul sedikit perasaan janggal kerana di
kelilingi oleh jururawat dalam kalangan wanita.
"Situasi yang sama juga berlaku ketika saya
masih menuntut di Kolej Pantai. Di dalam kelas adakala timbul perasaan
terpinggir kerana hanya ada lima orang jururawat lelaki ketika itu dalam kelas
berbanding 19 pelajar perempuan.
"Namun, kerana minat dalam bidang tersebut
semuanya dapat dihadapi dengan mudah, malah, kebanyakan mereka sentiasa
memberikan sokongan kepada kami.
"Setelah memasuki kerjaya sebagai jururawat
lelaki, pada permulaan saya mendapat ejekan dan pandangan negatif daripada
rakan-rakan terdekat.
"Apabila mengetahui saya bekerja sebagai
jururawat mereka sedikit terkejut dan mempunyai pandangan negatif malah ada
yang menganggap saya ketinggalan zaman," kata Thomas.
Ujarnya, dugaan dan pandangan negatif daripada
orang sekeliling tidak langsung melemahkan semangatnya untuk terus berkhidmat
kepada masyarakat.
Malah beliau berpuas hati apabila pekerjaan yang
dilakukan mendapat penghargaan daripada pesakit.
"Sepanjang bekerja di sini, pengalaman
berhadapan dengan pelbagai kerenah pesakit tidak akan dilupakan, malahan
menjadi pencetus untuk terus berkhidmat dengan baik dan meningkatkan kualiti
kerja.
"Dalam kerja ini akan ada pesakit yang marah
dan melepaskan kata-kata yang tidak menyenangkan. Dalam menghadapi situasi
tersebut, saya banyak mengambil langkah berdiam diri dan membiarkan pesakit
tersebut meluahkan apa yang dirasainya sehingga mereka berasa tenang.
"Langkah seterusnya, barulah jalan
penyelesaian akan diambil setelah mengenal pasti masalah yang dihadapi,"
ujar Thomas, anak sulung daripada tiga orang adik-beradik.
Akuinya lagi, kerjaya jururawat
memerlukan mereka berkhidmat tidak menentu masa, namun itu tidak pernah
melemahkan semangatnya kerana dia mempunyai cara tersendiri untuk mengimbangi
masa antara kerjaya dan urusan peribadi.
Berbeza pula dengan Mohamad Hafiz
Mustaffaa Kamal, 26, yang sudah berkhidmat enam tahun di Hospital Pantai Kuala
Lumpur, yang memilih kerjaya jururawat kerana pengalamannya sendiri yang pernah
tercedera di bahagian kaki semasa bermain bola sepak mewakili Pasukan Belia
Perak.
"Semasa dalam satu perlawanan bola
sepak, buku lali tercedera dan menyebabkan saya menerima rawatan di hospital.
Tambahan, saya yang juga merupakan anak tunggal turut mempunyai pengalaman
menjaga ibu yang sakit buah pinggang.
"Daripada pengalaman tersebut,
saya membuat keputusan untuk menyambung pengajian di Kolej Kesihatan Sains dan
Kejururawatan Pantai ketika berusia 19 tahun.
"Selepas menjadi jururawat saya
mengambil keputusan berhenti sebagai pemain bola sepak di bawah Pasukan Belia
Perak kerana yakin kerjaya ini lebih terjamin untuk masa depan," kata
Mohamad Hafiz.
Ujar anak kelahiran Ipoh, Perak ini,
dia juga tidak terlepas daripada menerima ejekan rakan-rakannya apabila mereka
mengetahui dia bertugas sebagai jururawat.
"Ada antara mereka terkejut
apabila mengetahui saya menjadi jururawat, tidak kurang juga yang mengejek
dengan kerjaya tersebut.
"Namun semua itu tidak lama,
kerana selepas itu, terdapat salah seorang di antara mereka yang menelefon saya
kembali untuk bertanya tentang kerjaya tersebut dengan tujuan untuk memohon
pekerjaan yang sama.
"Ternyata keputusan yang dipilih
suatu ketika dahulu sangat berbaloi dan memberi banyak kelebihan pada diri.
Tambahan, saya juga sentiasa mendapat sokongan padu daripada ibu tercinta yang
kini sedang menetap di kampung," kata Mohamad Hafiz.
Tambahnya yang sudah enam tahun
berkhidmat di Hospital Pantai Kuala Lumpur, mengakui pengalamannya menjadi
jururawat dan berhadapan dengan pesakit yang pelbagai kerenah dan latar
belakang menjadikannya seorang yang matang dan tenang.
"Berbanding dahulu ketika terlibat
dengan permainan bola sepak saya seorang yang mudah baran, sebaliknya selepas
menjadi jururawat sifat tersebut semakin hilang dan semakin tenang menghadapi
kerenah pesakit," ujarnya sambil tersenyum. - SITI AISHAH YUSOFF
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20130521/kn_01/Khidmat-jururawat-lelaki#ixzz3Ct3psDkI
© Utusan Melayu (M) Bhd
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20130521/kn_01/Khidmat-jururawat-lelaki#ixzz3Ct3psDkI
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment